Mesej KPP
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
KPI merupakan satu kaedah untuk mengukur strategi-strategi yang telah ditetapkan untuk mencapai misi dan visi organisasi. Sekaligus ini akan dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan setiap organisasi kepada pelanggan serta menambahbaikkan sistem perkhidmatan teras sedia ada. Dengan itu, KPI sangat berguna bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana impak dan kejayaan dalam memenuhi matlamatnya.
Beberapa kaedah yang telah digunapakai sebelum ini juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian. Antaranya ialah pengukuran prestasi individu dan organisasi melalui sasasan kerja tahunan, pengukuran kecekapan sistem pengurusan kualiti melalui pelaksanaan MSISO 9001:2000 serta pengurusan kualiti menyeluruh (TQM) dan penandaarasan amalan-amalan terbaik dalam perkhidmatan awam.
Sebagai ingatan bersama, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) mempunyai berbagai ‘outcomes’ yang perlu digarap oleh setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kita mempunyai matlamat yang memerlukan komitmen kukuh ke arah pengurusan yang cekap dan berkesan. Komitmen ini merupakan anjakan paradigma bagi menjayakan empat KPI Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu meningkatkan kadar enrolmen prasekolah kepada semua murid, memastikan literasi asas murid dicapai, mewujudkan sekolah-sekolah berprestasi tinggi, dan penilaian berasaskan prestasi bagi pentadbir sekolah cemerlang menjelang tahun 2012.
Keperluan KPI ini perlulah dihayati oleh setiap warga BTPN Selangor kerana ia menjelaskan hala tuju organisasi. Di samping itu, dengan mengaplikasikan sistem pengukuran prestasi ini, ia dapat memberikan tumpuan kepada bidang-bidang utama kepada pelanggan kita. Seterusnya ia akan membolehkan kita menilai semula prestasi yang telah disasarkan bersama dengan tindakan-tindakan pembetulan serta penambaikan yang perlu dibuat.
Saya menyarankan penggunaan KPI dijadikan amalan dalam budaya kerja yang berasaskan prestasi. Ia akan menjamin keberkesanan BTPN Selangor membantu meningkatkan pembudayaan teknologi pendidikan dan amalan-amalan terbaik di kalangan pentadbir dan guru-guru sekolah.
HAJI AHMAD DAHLAN BIN KARDI
Ketua Penolong Pengarah BTPN Selangor











